Tuesday, 1 March 2016

Punca-punca pencemaran sungai

                                Indah sungguh terbang camar,
                                terbang berkawan di hujung dunia,
                                sungai indah kini tercemar,
                                akibat rakus sikap manusia.

           Begitu gramatisnya pantun di atas yang mencerminkan sikap rakus manusia yang beraja di mata dan bersultan di hati. Mereka sanggup menodai keindahan sungai semata-mata untuk memenuhi kantung peribadi mereka. Sesungguhnya keindahan sungai wajar dipertahankan untuk generasi yang akan datang. Pelbagai pihak terutama kerajaan menggalas tanggungjawab untuk memastikan keindahan sungai dapat dijadikan sebagai aset ekonomi negara. Pepatah menyatakan, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kajian-kajian Jabatan Alam Sekitar membuktikan pada tahun 1999 terdapat tiga belas batang sungai yang tercemar pada tahap kronik termasuk Sungai Jelutong di Pulau Pinang.


                Peribahasa menyatakan,  hanya jauhari yang mengenal manikam. Kajian menunjukkan, terdapat pelbagai faktor yang menyebebkan pencemaran sungai. Antaranya ialah akibat sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Mereka sanggup membuang sampah ke dalam sungai tanap sedikitpun rasa bersalah. Perkembangan petempatan setinggan seperti cendawan tumbuh selepas hujan terutama di pinggir bandar menyebabkan aliran sungai terus tersekat. Mereka kebanyakannya membuang sampah dan air kumbahan ke dalam sungai. Sikap individualistik ini telah menyebabkan kualiti air sungai terus merosot dan tidak sesuai dijadikan sebagai sumber minuman masyarakat. Proses urbanisasi yang berkembang pesat juga menyebabkan sungai tercemar. Sikap pemaju perumahan yang tidak beretika telah bertindak membuang bahan binaan ke dalam sungai  umpama akibat nila setitik, rosak susu sebelanga. Ahli masyarakat telah menjadi mangsa secara senyap-senyap tanpa diperasan sehingga pelbagai isu penyakit seperti malaria timbul untuk menghantui mereka selama bergenerasi.

                Selain itu, menurut pujangga Melayu,  tepuk dada tanya selera. Di sebalik arus modenisasi, berapakan batang sungai telah menjadi kambing korban kerakusan insan yang menggelar dirinya sebagai insan terkamil dalam alam semesta ini? Manusia, fauna dan sungai mempunyai hubungan yang rapat bagaikan lagu dengan irama  dan aur dengan tebing.  Tanpalah fauna dan sungai, bagaimanakah manusia akan dapat berdiri megah lagi di puncak kegemilangan dengan kurangnya sumber makanan dan minuman yang menjadi asas keperluan hidup? Demi keuntungan sementara yang merabuni mata, kilang- kilang yang didirikan berhampiran sungai mudah menjadikan sungai sebagai mangsa kemajuan ekonomi, pelbagai sisa toksik dan sisa buangan telah mencerobohi kawasan dalam sungai dan seterusnya mencemar empangan sebagaimans yang telah berlaku dalam sejarah negeri Melaka, bekalan air yang terputus telah mengganggu kehidupan seharian penduduk Melaka.

                Polemik antara pihak badan-badan bukan kerajaan yang prihatin dalam persoalan alam sekitar dengan pihak pemaju perumahan masih berada dalam ketegangan meskipun ribuan surat protes dan alasan untuk memesatkan keadaan ekonomi negara telah diberikan. Sesetengah pihak berkuasa telah menutup sebelah mata dalam menangai kasus pencemaran sungai yang dipercayai berpunca daripada aktiviti pembalakan haram dan tidak terkawal ini. Pengawasan di pendalaman sungai dan cerun bukit amatlah longgar dan duit yang merupakan  serampang dua mata telah diperalatkan oleh manusia untuk mendapatkan permit membalak yang tidak sah. Permukaan bumi pula akan terangkut ke dalam sungai dan seterusnya menjadi tohor. Kuala Lumpur pernah dilanda peristiwa hitam sebegini dan ribuan nyawa rakyat ibu kota Malaysia telah terkorban. Kejadian itu telah mereflekkan hati nurani sesetengah manusia yang telah dibaham unsur-unsur kewangan dan tergamak membelakangi tatasusila demi kepentingan poket masing-masing seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

                Dalam usaha menjauhi diri daripada keadaan bagai kais pagi makan pagi, kais petang makan petang , sesetengah petani telah memilih untuk menggunakan racun serangga, baja kimia dan racun rumpai seperti DDT untuk menjimatkan kos. Sisa-sisa racun tersebut akan meresap ke dalam bahagian tanah dan mengalir ke dalam sungai seterusnya memusnahkan hidupan akuatik dan menjejaskan ekosistem sungai. Secara tidak langsung, penduduk sekitar yang mudah memperoleh air sungai tersebut mudah dilanda penyakit yang memudaratkan kesihatan anggota badan. Najis haiwan domestik dan liar akan menjadi wahana pembiakan penyakit yang mengurangkan jangka hayat penduduk. ‘Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan’, kita seharusnya menjadikan sejarah gelap Eropah semasa Zaman Gelap iaitu kerebakan penyakit malaria yang serius telah meragut hampir dua pertiga penduduk setempat, sebagai cerminan agar kita menyokong usaha melestarikan keindahan sungai dan bukan sebaliknya. Kerajaan sepatutnya memberikan bantuan ehsan kepada petani yang terdesak agar mereka dapat melakukan resolusi yang terbaik untuk alam sekeliling dan untuk kesihatan warga setempat.


                Sebagai konklusi, isu pencemaran sungai yang sentiasa diuar-uarkan di dada-dada akhbar wajar ditangani sehingga ke akar umbinya. ‘Kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang’, pelbagai punca pencemaran yang diutarakan di atas wajar dianalisiskan agar modus operandi yang pragmatik dapat dilaksanakan oleh pihak yang berkuasa dan bertanggungjawab. Hal ini amat penting kerana masa depan generasi yang akan datang terletak pada tangan kita. Isu ini yang menjadi tanda aras tentang keberkesanan pihak berkenaan dan tahap keutuhan rakyat bekerjasama memelihara wajah rupa asli sungai akan dinampakkan sebagai inisiatif yang selaras dengan aspirasi negara untuk merealisasikan Wawasan 2020 iaitu menjadikan negara Malaysia negara maju yang beracuan sendiri. Confucius mengatakan, ‘ kalau tidak ditimbang-timbang, dokrin baharu yang unik boleh mengundang petaka.’  Oleh itu, usaha yang berterusan wajar diaplikasikan agar pencemaran sungai dapat dielakkan dan minda sivik rakyatlah yang menjadi pivot utama. Pendapat yang sesuai untuk menasihati para ahli masyarakat memandang serius masalah ini ialah, “jangan jemu separuh jalan. Seutas kawat mampu memotong sekeping papan dan titis-titis air mampu melekukkan seketul batu.” Hargailah sungai kita dan sentiasalah menjaga kebersihannya demi warga yang kita sayang. Genggam bara api biarlah sampai menjadi arang. Kalau tidak dapat tegak, berengsot-engsot pun sampai juga. Tiada usaha yang tidak akan mengetuai kita ke arah kejayaan, ingatlah kita bahawa kita tidak akan dihampakan. “Cintailah Sungai Kita Kerana Sungai Milik Bersama”. 


No comments:

Post a Comment